Kejadian Tanah Runtuh Terlalu Pantas

SERI KEMBANGAN – “Kejadian terlalu pantas, bila saya toleh saja pokok, tanah semua dah gelongsor jatuh akibat runtuhan tebing yang berlaku,”kata saksi kejadian tanah runtuh di Jalan 1A/2, Taman Lestari Perdana, di sini, petang semalam.

Abdul Rahman Razali, 43, yang bekerja di stor berhampiran lokasi kejadian berkata, dia langsung tidak mendengar sebarang bunyi dan hanya mengetahui terdapat 11 kenderaan turut menggelongsor jatuh selepas meninjau keadaan sekitar.

“Masa tu saya nak ke tandas, bila saya toleh saja ke luar premis stor ni, saya tengok pokok yang berada di tebing ‘ghaib’, tanah pula menggelongsor dan jalan merekah.

“Bila saya keluar barulah nampak beberapa buah kereta dah terjunam di kawasan runtuhan itu,”katanya.

Abdul Rahman berkata, kelmarin cuaca panas, tiada angin kencang atau hujan lebat di kawasan sekitar yang mungkin menjadi penyebab kejadian berlaku.

“Semalam tak hujan, panas dari pagi tapi hairan juga sebab kejadian itu berlaku sepantas kilat tak sampai pun seminit, deretan pokok dan kenderaan semua sudah berada kaki tebing tanah.

“Saya masih bekerja lagi seperti biasa hari ini kerana pihak berkuasa belum keluar sebarang arahan pengosongan ,”katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: 11 kenderaan jatuh akibat tanah runtuh]

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian runtuhan tanah tersebut.

Menurutnya, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian kira-kira jam 6.45 petang semalam daripada penduduk sekitar serta Unit Pengurusan Bencana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Hasil pemerhatian awal, kami syaki kejadian berpunca daripada ‘hydrostatic pressure’ yang menjadi punca tanah menggelongsor, mungkin terdapat aliran air namun belum dapat dipastikan sama ada ia dari paip utiliti atau penyambungan bekalan dilakukan secara haram.

“Bagaimanapun, bangunan premis komersil terletak kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian disahkan masih selamat dihuni. Setakat ini belum ada arahan atau cadangan pengosongan bangunan dikeluarkan,”katanya tebing sepanjang 50 meter itu runtuh apabila berlaku pergerakan di bawah tanah.

Sementara itu, Mohd Zulkurnain berkata, pihaknya dimaklumkan 11 kereta yang menggelongsor jatuh adalah kenderaan lama diletakkan di kawasan itu selain kereta buruk yang sudah lama tersadai.

“Bila tiba di lokasi, anggota keselamatan dapati, semua kenderaan sudah menggelongsor akibat rekahan dan runtuhan tebing, syukur tiada kemalangan jiwa berlaku

“Sebarang perkembangan akan diberitahu dari masa ke semasa dan pihak majlis akan mengkoordinasikan mesyuarat khas bersama agensi terlibat bagi mengenalpasti punca dan langkah bakal diambil,”katanya kerja pembaikan akan dilakukan MPSJ.

Sinar Harian difahamkan, anggota keselamatan dan agensi terlibat masih berada di lokasi bagi mengawal dan mengenalpasti sekiranya berlaku pergerakan tanah baru di lokasi tersebut.

Terdahulu, Sinar Harian Online melaporkan sebanyak 11 kenderaan pelbagai jenis jatuh dalam satu kejadian tanah runtuh di Jalan 1A/2 Taman Lestari Perdana.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, kesemua kenderaan menggelongsor jatuh selepas berlakunya rekahan jalan di kawasan kejadian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya telah memasang sawar di kawasan tersebut bagi tujuan keselamatan sementara.

Kejadian dirujuk kepada polis dan pihak berkuasa tempatan untuk tindakan selanjutnya.

Catat Ulasan

i

MKRdezign

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget