Konsesi ERL Dilanjut Hingga 2059

KUALA LUMPUR – Perjanjian konsesi bagi Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) yang mengendalikan perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit dilanjutkan selama 30 tahun iaitu sehingga 2059.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi (gambar kecil) dalam persidangan Dewan Rakyat berkata, lanjutan tempoh konsesi berkenaan dibuat selepas kerajaan menolak permintaan Malaysia Airports Holdings Bhd. berkaitan kenaikan harga tiket ERL sebanyak tiga kali.


“Kontrak ini akan tamat pada tahun 2029 tetapi oleh kerana kita telah membuat perjanjian awal pada 2002, telah ada satu sistem di mana setiap lima tahun harga tambangnya boleh disemak.

“Apabila kita tidak membenarkan kenaikan tambang sebanyak tiga kali, sepatutnya kita memberi pampasan tetapi kita panjangkan konsesi,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Tan Sri Khalid Ibrahim (Bebas Bandar Tun Razak) berhubung isu konsesi berkenaan.

Abdul Aziz berkata, selepas tahun 2029, kerajaan tidak lagi akan membayar caj servis penumpang sebanyak RM5 bagi setiap penumpang kepada ERL dan bayaran kepada syarikat rel berkenaan adalah bergantung kepada pasaran.

ERL dimiliki oleh YTL Corporation Bhd., Lembaga Tabung Haji, SIPP Rail Sdn. Bhd. dan Trisilco Equity Sdn. Bhd. dengan masing-masing mempunyai pegangan sebanyak 45 peratus, 36 peratus, 10 peratus dan 9 peratus.

Syarikat tersebut telah dianugerahkan konsesi untuk membiayai, mereka bentuk, membina, mengendali dan menyelenggara perkhidmatan rel KLIA Ekspres dan KLIA Transit dan aktiviti-aktiviti sampingan yang berkaitan selama 30 tahun pada 25 Ogos 1997.

Namun demikian, ia menerima kebenaran untuk memulakan operasi pada tahun 1999.

KLIA Ekspres, yang memulakan operasi pada 14 April 2002, menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor dan Stesen Kuala Lumpur Sentral dekat sini dengan perjalanan mengambil masa 28 minit, selain tambahan 3 minit untuk ke terminal tambang rendah, KLIA2.

Sementara KLIA Transit, yang beroperasi sejak 1 Jun 2002, mempunyai tiga stesen hentian iaitu Bandar Tasik Selatan, Putrajaya dan Cyberjaya serta Salak Tinggi dengan perjalanan antara Stesen Kuala Lumpur Sentral dan KLIA2 selama 39 minit.

Operasi dan penyelenggaran tren diuruskan oleh anak syarikat milik penuh ERL, ERL Maintenance Support Sdn. Bhd.
Label:
Reaksi:

Post a Comment

Video

[Video][video]
[blogger]

MKRdezign

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget