Tren kargo tergelincir, 3 hari kerja baik pulih

KUALA LUMPUR: Operasi perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang terjejas dijangka pulih dalam tempoh tiga hari.

Perkhidmatan tren di beberapa destinasi sekitar Lembah Klang terjejas susulan gerabak tren kargo tergelincir di Stesen Bank Negara di sini, awal pagi tadi.

KTMB dalam satu kenyataan, berkata kerja baik pulih di laluan berkenaan sedang giat dijalankan sebelum perkhidmatan tren dapat kembali beroperasi seperti biasa.

Katanya, kejadian jam 2.58 pagi membabitkan 12 gerabak tren kargo tergelincir di Kilometer (KM) 386, antara laluan Stesen Bank Negara - Stesen Kuala Lumpur.

"Bagi perkhidmatan KTM Komuter, tren hanya akan beroperasi antara laluan Stesen Tanjung Malim-Stesen Kepong dan Stesen KL Sentral-Stesen Pelabuhan Klang.

"Tiada perkhidmatan tren komuter di antara laluan Stesen Kepong ke Stesen KL Sentral, tetapi ada perkhidmatan bas disediakan antara laluan Stesen Segambut - Stesen KL Sentral.

"Penumpang bagi laluan Stesen Tanjung Malim - Stesen KL Sentral atau stesen sektor Selatan dan sebaliknya, digalak menggunakan perkhidmatan awam alternatif lain seperti tren MRT dari Stesen Sungai Buloh," katanya.

Bagi laluan Batu Caves - Seremban - Tampin/ Pulau Sebang, perkhidmatan komuter hanya beroperasi di antara laluan Stesen Batu Caves - Stesen Sentul dan Stesen KL Sentral - Stesen Seremban - Stesen Tampin/ Pulau Sebang dengan bas disediakan antara laluan Stesen Sentul - Stesen KL Sentral.

Bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) pula, tren ETS dari sektor Utara akan beroperasi hingga Stesen Sungai Buloh dan dari situ, penumpang akan dibawa menggunakan tren MRT ke Stesen KL Sentral sebelum meneruskan perjalanan ke Stesen Gemas menggunakan ETS.

Sama seperti sektor Utara, tren ETS dari sektor Selatan juga akan beroperasi hingga Stesen KL Sentral dan penumpang akan dibawa menaiki MRT dari stesen itu ke Stesen Sungai Buloh sebelum meneruskan perjalanan ke sektor Utara menggunakan ETS.

"Penumpang ETS boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh sekiranya berhasrat membatalkan perjalanan dan boleh juga membuat pertukaran tarikh perjalanan, bergantung kepada kekosongan tiket.

"Jangkaan kelewatan bagi semua perkhidmatan tren ETS adalah antara 30 minit hingga satu jam," kata syarikat itu.

KTMB turut memohon maaf atas kesulitan berkenaan dan orang ramai yang inginkan maklumat lanjut boleh melayari laman Twitter rasmi KTMB, @ktm_berhad atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200.-Berita Harian

Catat Ulasan

i

MKRdezign

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget