Tubuh Entiti Kawal Pulau Pangkor

IPOH 16 Nov. – Kerajaan negeri akan menubuhkan satu entiti khas yang bertanggungjawab memastikan pelaksanaan dan mengawal selia Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai.


Zambry Abd. Kadir
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, entiti itu sehingga kini masih dalam peringkat perbincangan iaitu sama ada dalam bentuk lembaga ataupun entiti lain yang sesuai.


“Ketika ini juga kerajaan negeri sedang mengadakan beberapa siri perbincangan de­ngan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk memperincikan lagi kaedah pelaksanaan pulau bebas cukai itu nanti termasuk pengendalian Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di sini semalam.

Terdahulu, Zambry turut mendengar taklimat daripada beberapa pihak mengenai pelaksanaan pulau bebas cukai termasuk Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T. Subromaniam.

Zambry berkata, pada masa sama kerajaan negeri akan mengkaji model yang digunakan di pulau-pulau bebas cukai lain seperti Langkawi, Labuan, Tioman dan Tasik Kenyir.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mendapatkan bimbingan Kementerian Kewangan dalam melaksanakan idea tersebut dan akan membuat keputusan sama ada me­nubuhkan sebuah lembaga yang diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang melibatkan sebuah enakmen baru atau satu kaedah lain.

Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya kerajaan negeri memutuskan untuk menubuhkan sebuah lembaga, ia tidak sempat dibentangkan di dalam sidang DUN tahun ini kerana ia memerlukan sedikit masa.

“Apabila status bebas cukai itu dilaksanakan nanti, kedudukan Pulau Pangkor juga akan menjadi pulau bebas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Walaupun status bebas cukai itu tidak termasuk tembakau dan arak, sebenarnya terlalu banyak barangan lain yang boleh diperdagangkan seperti barangan elektrik, pinggan mangkuk, aksesori, pakaian dan minyak wangi,” katanya.-UTUSAN ONLINE


Catat Ulasan

i

MKRdezign

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget