Wanita Vietnam Antara 7 Ditahan

TUJUH individu termasuk seorang wanita Vietnam disyaki ahli kumpulan pengedar dadah dicekup dalam serbuan berasingan di sekitar Perlis bermula Jumaat lalu hingga pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan berkata, suspek berusia 30 hingga 43 tahun itu yang disyaki menganggotai kumpulan berbeza, ditahan hasil risikan dan operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis di sekitar Arau dan Padang Besar.

Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan lelaki warga tempatan dan wanita Vietnam,kedua-duanya berusia 30-an di Beseri, Padang Besar pada 10.50 pagi, Jumaat lalu.

"Mereka ditahan ketika menaiki kereta Suzuki Swift warna hitam dan hasil pemeriksaan lanjut polis menemui satu beg kain berwarna biru berisi sembilan bungkusan kecil plastik lutsinar berisi dadah.

"Empat bungkusan plastik mengandungi syabu seberat 52 gram, empat bungkus berisi heroin seberat 88 gram dan satu bungkusan serbuk putih disyaki dadah ketamin seberat 11.5 gram serta 158 biji pil Eramin 5," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Beliau berkata, tangkapan kedua pula membabitkan seorang lelaki berusia 30-an di rumah sewanya di Arau, jam 12.30 tengah malam Isnin lalu.

"Dalam serbuan itu suspek cuba meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditangkap.

"Pemeriksaan fizikal dilakukan terhadapnya, kita menemui lima bungkusan kecil plastik cerah mengandungi syabu anggaran berat keseluruhan 22 gram, satu plastik kuning mengandungi 12 biji pil Yaba (kuda) dan wang tunai RM743 dipercayai hasil jual beli dadah di dalam beg sandang suspek,"katanya.

Hasmerra berkata, pemeriksaan lanjut ke atas rumah sewa lelaki terbabit turut menemui satu ketulan mampat disyaki dadah ganja seberat 46.7 gram dibalut kertas aluminium dan dibungkus dengan pita pelekat yang disembunyikannya di dalam pasu bunga di ruang tamu.

Katanya, empat lagi suspek berusia 30 dan 43 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Baru Chuping pada jam 10.50 pagi semalam.

"Mereka ditahan selepas pemeriksaan di rumah itu menemui satu bungkusan plastik besar dan tujuh bungkusan plastik kecil masing-masing berisi ketulan dan serbuk putih dadah heroin dengan anggaran berat keseluruhan 155.87 gram dan satu bungkusan plastik kecil berisi hablur kristal dipercayai syabu seberat 97.16 gram.

"Turut ditemui dua bungkusan plastik kecil berisi mampatan daun tumbuhan kering disyaki ganja seberat 6.42 gram setiap satu, satu bungkusan plastik cerah berisi 13 biji pil Yaba dan satu bungkusan kertas aluminium berisi eramin 5," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B akta sama dan semua suspek direman seminggu dari tarikh ditangkap.

"Nilai rampasan dadah, wang tunai dan buah kereta bernilai RM44,749 dan pihak polis percaya tiga kumpulan ini aktif membekalkan dadah kepada penagih di negeri ini," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 6:45 PM-

Catat Ulasan

i

MKRdezign

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget